23 July 2015

Rasa cinta yang aku percaya

Soal cinta, tak tentunya ia manis dan indah-indah -yang biasanya berputar sekitar kiriman bunga, jalan-jalan di taman sepanjang petang, menghantar pesanan ringkan sebangunnya dari pagi nan sejuk.

Ia juga tak tentunya yang buruk-buruk dan bersifat nightmares -pergaduhan yang panjang dan tak masuk akal : berpisah kerana si lelaki/perempuan menjeling rakan sejantina lain di tempat kerja dan sebagainya.

Aku mengimpikan, sebuah percintaan yang ada aku, kamu, keluarga kamu, keluarga aku dan seterusnya keluarga kita. Ia menular menjadi kasih sayang antara jiran tetangga, sahabat handai, rakan taulan jauh dan dekat!

Angan-angan cinta yang kuimpi, sangat mudah di alam mimpi dan angan-angan, namun pada realiti dan hakikat insani, sangat sukar -kerana manusia, berbeda rambut dan hatinya, lain rupa dan jiwanya.

Namun, jika tanpa mimpi dan angan, apa aku tegar berhidup sekadarnya cuma, hidup untuk meneruskan apa adanya dan sekadarnya. Sebab itulah, aku tetap tegar menaruh impian dan masih utuh untuk punya harapan, agar langkah dan laluan yang kuambil, bakal seiring cita-cita cintaku. Kalau tersalah laluan, akanku kembali lagi, lagi dan lagi. Haluan itu aku tetapkan tidaklah semata-mata matlamat, tetapi ia berkisar tentang pedoman di jalan zulumat -jalan yang tidak pernah terang di mataku, yang masih kurang jelas dan kabur di benak masa depanku.

Cinta tak harus membuatmu di awang-awangan, rasa takut pada realiti dan kebenaran dan rasa self-defense yang melampau sehinggakan, kau sudi menyalahkan orang pada tindakan jahatmu. Cinta juga tidak harus membuatmu mengaku sesuatu yang tidak kau perbuat semata-mata meraih cinta, berkata nista dan dusta. Cinta itu, cukuplah damai di luarnya namun di dalam penuh sketsa dan drama. Sudah aku bilang, tidak tentunya cinta itu yang manis-manis dan indah-indah belaka atau pada buruk dan jahat sisinya. 

Bagi aku,

Cinta itu, pelbagai warnanya.

Yang menunjukkan kamu terang, supaya kamu tahu bagaimana gelapnya malam. Yang menunjuki gelap, agar kau tahu betapa bahagianya punya cahaya. Yang menerima lemahmu untuk sama-sama menghirup bahagia punya tempat menyandar derita, Yang mengalukan kekuatanmu, untuk mematahkan segala ketidakadilan yang kau lalui. Dan ceritera cinta itu, masih berlangsung.. Dan cita-citanya masih panjang untuk dikarang...

Buat kamu, sudikah menjadi sebahagian dari rasa cinta yang aku percaya?