14 July 2015

Jiwa muda di wajah tua

Seringkali bila ia pergi ke sesuatu tempat yang baru, orang yang kelihatan lebih tua (muka berkedut dan tampak lebih matang) dan mempunyai anak dua atau tiga orang sudah, memanggilnya 'kakak'.

Seawal-awal ketika orang mula memanggilnya begitu, ia merasa sedikit awkward, atau janggal mungkin. Bahkan sedikit marah dan bengang.

"Mana mungkin aku yang baru awal 20-an ini lebih tua dari mereka yang punya wajah seperti itu"

kadang-kadang ia akur,

"Mungkin aku benar sudah tua"

"Iyakan sahajalah"

Jika direnung-renung, kehidupan ia dahulu adalah kehidupan yang perit. Ya, perit bagi seorang anak remaja yang terpaksa berikhtiar untuk membeli sendiri buku latihan sekolah, yang perlu usaha sendiri buat membeli rak buku di bilik usangnya, yang setiap kali sebelum pulang, mengambil pesan dan kiriman roti, lalu pulang sekolah ia mengambil roti di rumah jiran.. Di pagi esoknya, ke sekolah membawa dua beg besar roti, dia anak yang perlu mandiri atau dalam bahasa lain, 'kau buat, kau dapat. Kau berjimat, kau merasa.' Dia yang selalu pulang lewat setelah bergerak ke sekolah seusai subuh, semata-mata mahu belajar dalam suasana pembelajaran -kerana di rumah sudah terhimpit dengan adik-beradik lelaki yang ramai dan suka bergaduh pula.

Atas desakan hidup begitu, fikiran ia turut bercambah, bukan sahaja wajah.

Rupa yang cantik dan dipuji orang, tidak dapat memberinya makan (jika ia tidak berusaha) -kecuali dengan jalan yang haram. Di gurat-gurat matanya, tergores garisan halus -tanda ia keras berusaha. Namun, di hatinya dia gembira. Walau terkadang, orang melihatnya seperti punya anak dua -lalu masih tiada yang 'meminta'. Kalau ada pun, yang kelihatan tua juga adanya.

Ahh.. Tapi, fikir apa dia... Cukup baginya hidup ini memberi inspirasi dan dia sentiasa menginspirasikan. Tidak penting wajahnya yang tua, kerna di dalamnya ada jiwa yang begitu muda...

Kata dia,

"Terkadang, sesuatu yg menginspirasikan tidak perlu yg indah-indah..."
"Cukup yg membuat diri merenung kembali dan merasa 'pulang'..."

-WA-
26 Ramadhan 1436H
12.54pg