26 July 2010

Sukar~

Dengan nama Ar-Rahman yang Maha Pemurah.. Dan Ar-Rahim yang Maha Mengasihani.. Dampingilah hati-hati kami dan tuntuni kami menjadi hambaMu yang Kau kasihi.. Ameen~

Alhamdulillah wa syukr lillah.. Sekian lama akhirnya dapat juga diluahkan perasaan yang kian berkaca-kaca. Menterjemah helaian hati yang dirasakan kian lumpuh.. Lumpuh kerana impian dan harapan yang dibina, tak akan sewenangnya dilaksanakan tanpa aral. Hidup kian sukar. Tanggungjawab kian memberat, tergalas di bahu milik seorang budak hingusan seperti aku ini seakan-akannya mengundang cerca. Namun, kerana hati itu rela untuk dilumpuhkan, ia menerima. Menerima kerana yang meminta itu dulu jua pernah bersedia untuk dilumpuhkan cita-cita dan keinginannya.

Sukar dijelaskan arakian kisah di hujung titisan airmata. Kiasan demi kiasan bergurindam, namun hati itu masih sukar difahami. Sesaat mata memandang dengan pandangan mata yang mencerlang. Linangan airmata mengiringi. Merasakan airmata itu seumpama airmata darah. Walhal, ia hanya airmata. Namun, airmata itulah yang membawa bersama perasaan gundah-gulana yang entah di mana sudahnya.

Sukar juga dirasakan, bila yang terdekat rupanya mahu menjauh. Kata kakak bertopeng, "kita hidup ini untuk menyendiri pada hakikatnya." Bukan setakat menyendiri tetapi, membayar hutang kita pada orang. Hutang nyawa, harta, budi ilmu dan sebagainya. Lalu bagaimana hidup ini mahu ku kira mudah, tidak sukar? Segalanya tergalas di sini. Di bahu budak hingusan ini.

Belajar tabah itu bukan mudah. Walau berulangkali perkataan itu diulang-sebut, namun tak bisa membina sistem pertahanan ketabahan yang dicanang-canang. Bila mahu tabah, selalu rasa hampir rebah. Bila mahu tabah, selalu tersalah langkah.. Ahh.. Sukar rupanya menjadi tabah. Kata kakak bertopeng juga, "bertabahlah duhai si gadis.." Kata-kata yang dangkal harus ditepis! Kata kakak bertopeng itu lagi, "jangan hidup dengan kerenah orang, nanti kita akan penat"..

Aduh. Dush! Terasa kena tumbuk. Belajar menerima pun kadang-kadang bukan mudah. Tetap jua ia sukar. Ia mungkin mengambil masa sehari, seminggu, sebulan, setahun bahkan berpuluhan tahun untuk belajar menerima. Hanya belajar menerima hakikat sebuah kehidupan yang terkeluar dari kotak pemikiran kita. Yang tak pernah kita fikirkan. Walau perit itu terasa, kita terpaksa jua menerima. Kerana mungkin, itulah yang terbaik buat kita.

P/s: Bila ada yang menghiburkan, hati rasa bahagia walau saat itu jiwa gundah gulana..

Thanks buat kakak bertopeng dan kakak wo ai ni.