24 January 2010

Jatuh CiNtA pada alam-guru kehidupan II

Indahnya malam. Aku mahu hanya ada malam. Biar selamanya gelita. Selagi mana bulan dan bintang masih menemani, itu sudah cukup membuatku tenang. Tapi, itu hanya mimpi dan angan yang tak akan menjadi satu kenyataan. Malam pasti bersilih ganti dengan siang. Bulan kan pasti diusir mentari. Bintang-bintang dengan relanya kan mengundur diri. Melihat langit malam, aku mula kenal bintangku. Mula tahu erti ketenangannya, mula nampak akan kesetiaannya. Aku lihat sang rembulan itu. Ku tenung jasadnya. Makin lama baru ku sedar sebenarnya cahaya yang ada padanya hanyalah pinjaman dari sang mentari. Tapi, dengan angkuhnya bulan mengangkat diri tatkala tiba malam purnama. Mengaku dirinya yang paling cantik dan menawan. Padahal, badannya penuh lubang dan cahayanya hanyalah pinjaman sementara. Ia hanyalah objek bulat yang lesu sahaja! Bintang pula, sentiasa ada. Setia memagari bulan setiap waktu malam. Pada siangnya, bintang tetap ada cuma sinarnya pudar kerana hadirnya satu cahaya. Cahaya di atas cahaya. Lalu cahaya yang kecil itu dengan sendirinya menghilang dihalang cahaya mentari. Bila malam kembali, ia kembali berseri lagi.

Aku teringat pula akan matahari. Ia sangat hebat. Aku CiNtA juga melihatnya saat ia terbit dan terbenam. Aku merasa perginya menghapus penat-lelah dan dukaku sepanjang hari dan datangnya membawa hari yang baru dan bertenaga! Padanya sentiasa ada sesuatu! Matahari sangat tabah. Dirinya terbakar dalam berjuta-juta darjah celcius pun masih sanggup menerangi seluruh alam maya. Dan kerana takut bulan menderita, diberikan sedikit sahaja cahayanya agar bulan tak terbakar sepertimana dia. Baik kan? Namun aku sedar jua bilamana aku perhatikan bimasakti alam, mentari yang sebegitu hebat pun tak mampu membakar dan memusnahkan orbit jalanan yang sentiasa dilaluinya. Adakah orbit lebih hebat? Ku renung pula pokok-pokok dan dedaunan di malam hari. Betapa tenangnya mereka disapa angin sepoi-sepoi bahasa. Jiwaku terusik. Alam sekali lagi berbicara padaku. Ku lihat dan teliti dengan lebih mendalam seruannya kali ini. Hingga ke bimasakti! Di tengah pengaduan rinduku pada alam, aurora pula menjelma. Ia membawa aku melihat bintang dilapisi cahaya ungu, hijau dan biru. Menawan! Ku telusuri jalanan bersama aurora terCiNtA. Ku temui cancer ku. Bintang yang sejak dahulu setia di situ. Bintang itulah yang pernah nenek moyangku dahulu saksikan. Dia masih setia di situ! Bahkan tidak sedikitpun mengubah kedudukannya semata-mata kerana inginku merenungnya! Aku bangga kerana, dalam banyak harta yang tenggelam timbul, alamlah warisan yang paling berharga.

Semakin lama ku renungi alam dan dunia, aku tahu orbit bukanlah paling berkuasa dan aku dapati firman Allah yang amat benar lagi haq;

" الشمس والقمر بحسبان والنجم والشجرة يسجدان"

Matahari dan bulan beredar menurut perhitungan. Tumbuhan serta bintang tunduk kepadaNya..الرحمن : 6-7

Walau setinggi manapun bintang-bintang, matahari, orbit dan bulan serta serendah manapun pohonan, mereka itu tetap tunduk dan patuh pada arahan dan larangan Allah.

p/s: Aku pernah mendengar bukit dan gunung merintih dinodai manusia. Aku pernah mendengar anak-anak burung meminta tolong saat botol minuman manusia menghempap sarang mereka. Rosaknya alam dek tangan manusia. Binasanya alam kerana kerakusan makhluk yang CiNtAkan dunia. Jom terokai malam!