Wahai orang yang banyak komen dan alasan
Bukankah kamu tidak sakit?
Bagaimana kamu mahu berperang sedangkan
pagi-pagi lagi kamu bermasam-muka?
Kamu hanya melihat duri dan kesakitan pada batang mawar
Dan lupa serta buta pula melihat embun yang berkilauan dibawahnya
Barangsiapa pada hatinya tiada kebaikan,
Maka dia tak akan sedari kewujudan sesuatu yang cantik dan baik
Namun, bergembiralah pada subuh hari
selagi mana kamu sempat untuk merasainya
Dan janganlah kamu takut dan sedih kehilangan sesuatu
sehingga ia benar-bnar hilang dan pergi darimu
Fahamilah juga haqiqat burung kecil
yang mana ia malu untuk menzahirkan kejahilannya..
(terjemahan saya je ni)
Sebenarnya ramai manusia yang takut untuk hadapi haqiqat sebuah kehidupan. Awal-awal lagi dah takut untuk teruskan kehidupan. Padahal, orangnya sihat dan kuat tapi sanggup mensia-siakan nikmat sihat itu semata-mata takut memikirkan sesuatu yang akan berlaku jika dia melakukan itu ini. Sepatutnya ia bersyukur masih diberikan kesempatan untuk hidup di muka bumi Allah ini. Aisyah r.a pernah ditanya, apakah perkara yang paling berharga yang dia mahukan. Jawapannya senang iaitu, nikmat sihat. Maksud sabda Rasul s.a.w pula menjelaskan :
"Dua nikmat yang sering dilupakan manusia iaitu nikmat waktu lapang dan kesihatan yang baik."
"Health is wealth"
Dan ada juga syair arab yang menggambarkan tentang kesihatan.
"Kesihatan itu adalah mahkota di atas kepala orang-orang yang sihat.
Namun, tak akan nampak mahkota itu kecuali bagi orang-orang yang sakit."
Lihatlah pula haqiqat kehidupan seekor burung kecil. Ia tahu kalau ia terbang tinggi, ia bakal dikejar helang. Namun, jika ia terbang ke bawah, manusia dan kucing pula mengancamnya. Seandainya burung itu tak mahu menerima haqiqat dirinya begitu, sudah pasti ia akan menangis sampai mati memikirkan bahaya yang bakal ia lalui. Pasti tak akan ia terbang tinggi dan tak akan jua turun ke bumi. Hanya menanti dirinya mati.
Ramai pula antara manusia yang hanya melihat pada perkara yang buruk. Misalnya, pergi ke kelas lambat. Ini antara slogan dari kawan-kawan saya yang malu kerana lambat ke kelas
"aku tak nak masuk kelasla wei. Malu ar sebab datang lambat. Nanti lecturer marah"
Sebenarnya, kalau diikutkan malu itu bukanlah perkara yang besar jika dibandingkan dengan ilmu yang kita ketinggalan. Namun, kerana sesetengah manusia lebih suka melihat duri berbanding mawar dan embun di dahan pokok, maka begitulah jadinya.
Begitu juga jika saya sentuh sedikit persoalan berkenaan jemaah. Biasanya orang akan alergik bila sebut jemaah. Akan ada antara mereka akan persoalkan. Buat apa ada jemaah? Bukankah jemaah ini memecahbelahkan ummat? Membawa kepada kehancuran? Memberi kemusnahan? Sebenarnya kalau diteliti balik hadaf atau tujuan atau halatuju jemaah ini sebenarnya ia memberi banyak sumbangan kepada perkembangan minda, sakhsiah dan jatidiri pemuda-pemudi kita pada hari ini. Cuma kena fahamla konsep jemaah centric ke ummah centric? Biasanya inilah salah faham orang-orang jemaah sekarang. Taksub untuk naikkan nama jemaah sehingga lupa Islam yang dibawa dan diagung-agungkan selama ini.
Kata kuncinya ialah, lihatlah pada kuntuman mawar nan indah, bukan pada duri yang tajam menusuk.
Oleh itu, saya akhiri entri saya dengan dua buah hadis,
Rasulullah s.a.w bersabda: "Bahawa besarnya sesuatu balasan itu menurut besarnya sesuatu bencana ujian; dan bahawa Allah 'Azza wa Jalla apabila mengasihi sesuatu kaum diuji mereka; kemudian sesiapa yang menerima ujian itu dengan redha maka ia akan beroleh keredhaan Allah, dan sesiapa yang bersikap keluh kesah serta benci menerima ujian itu maka ia akan mendapat kemurkaan dari Allah."
-Anas r.a
Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang mati pada masa ia dalam keadaan taatkan Allah, beramal soleh, maka ia dibangkitkan oleh Allah hidup kembali dengan keadaan yang menyukakannya; dan sesiapa yang mati pada masa ia dalam keadaan derhaka kepada Allah, berbuat jahat, maka ia dihidupkan kembali dengan keadaan yang mendukacitakannya".
-Jabir r.a
p/s; perempuan tetap mawar berduri tau?>,<