06 May 2016

Catatan perjalanan- Turki; bumi bertuah. (Part 1)

Masih aku ingat, hari itu merupakan hari terakhir untuk menghantar borang permohonan menyertai 1st OIC Young Leaders Summit 2016. Aku mendapat mesej dari ketua pegawai eksekutif tempatku berkhidmat meminta untuk aku datang ke pejabat dan mengisi borang permohonan ke Turki. Maka, bersusah payahlah aku mengambil motor dan menunggang lebih kurang empat kilometer ke tempat kerja. (padahal, aku langsung tidak tahu untuk apakah aku akan ke Turki dan program apakah yang sedang aku mohon ini) Hari itu ialah rabu, juga merupakan hari ke dua aku MC, lantaran pembedahan kecil membuang gigi bongsu yang sudah terlalu dekat dengan saraf dan rahangku. Aku hanya mengisi borang tanpa berfikir panjang kerana Turki adalah salah satu negara idaman yang terlalu ingin aku jejaki-selain Mekah, yang selalu aku panjatkan doa seusai solat dan setiap kali saat keinginan itu datang. Nak dijadikan cerita pada hari Jumaat iaitu dua hari setelah itu, aku mendapat panggilan untuk ke Kemeterian Belia dan Sukan untuk menandatangani permohonan kerana permohonan aku telah pun diluluskan! Alhamdulillah.

Nak dipendekkan cerita, aku bertolak ke Turki pada 10 April dan akan kembali ke Malaysia pada 16 April. Itulah tempoh masa yang aku rasakan begitu singkat tetapi sangat bermakna di bumi Turki ini. Walaupun Turki terlalu asing bagiku, namun aku merasakan ia begitu dekat dan eratnya dalam hatiku. Ironik sekali, Turki yang sejuk itu menjadi sangat hangat dan mesra di dalam hatiku. :)

Kami tiba seawal jam empat pagi waktu Turki, setelah menempuh 11jam perjalanan panjang. Sempat aku berehat seketika, sebelum ustaz Jalil dari Hayrat membawa aku dan ust. Sapar ke perasmian subjek baru untuk Jurusan Sejarah iaitu Studi Sejarah Melayu-Osmaniah yang dipersetujui antara universiti Fatih Sultan Mehmet dan juga UIAM di kampus mereka di Fatih. Turut hadir adalah rektor UIAM dan presiden Tan Sri Utama Dato' Rais Yatim untuk merasmikan dan sama-sama menyaksikan detik bersejarah ini. Aku turut berbangga menjadi salah seorang saksi peristiwa bersejarah ini.

Antara yang hadir menyaksikan perasmian subjek studi baru ini.

Setelah selesai majlis perasmian dan pertemuan bersama pelajar Malaysia di Fatih Universiti, kami berangkat untuk bersama-sama rakan-rakan OIC Young Leaders Summit yang telah memulakan aktiviti ziarah mereka yang pada waktu itu sudah berada di Masjid Suleymeniye (itupun setelah shopping kasut ust Sapar di kawasan sekitar masjid). 

Masjid Suleymeniye

Program OIC Young Leaders Summit itu berlangsung selama 11-13 April sahaja dan dihadiri oleh beberapa menteri belia dari negara-negara OIC yang berkongsi tentang bagaimana negara masing-masing menyantuni belia demi meningkatkan kependidikan dan kemajuan negara OIC. Ada juga beberapa tokoh lain seperti Puan Tawakkol Karman, yang merupakan tokoh Revolusi Yaman yang mula-mula memperjuangkan hak wanita dan memenangi Global Peace Laureate. Ada juga wakil dari Malaysia iaitu Puan rektor Prof. Zaleha dan YB KJ yang menyampaikan pesan-pesan penting untuk pemuda dari pelbagai negara ini, selain dari menteri belia Somalia, Tunisia, Azerbaijan, dan lain-lain lagi. 

Semasa program ini berlangsung, akulah satu-satunya peserta dari Malaysia dan hanya datang bersama pengiring lelaki dua orang;ust. Sapar dan Abg Mua'ammar, presiden MBM dan keluarga. Nasibku baik, kerana ada beberapa pelajar Malaysia yang belajar di Turki turut hadir dan salah-satunya adalah adik-adikku semasa di UIAM dahulu. Sekurang-kurangnya tidaklah aku terlalu keseorangan di tengah keramaian walaupun tempat duduk kami jauh.
Opening Speech by Mrs. Tawakkol Karman 

Sebahagian daripada panel hari ke dua

Saat minum petang, aku mengenali seorang adik dari Indonesia, Rizky namanya. Beliau merupakan pelajar di Istanbul Teknik Universitesi (ITU) dalam bidang 'engineering' dan tahun ini adalah tahun ke empat beliau di Turki. Takku sangka, dialah yang akan menjadi peneman banyak hari-hari aku di Istanbul. Dan sepertinya dia juga adalah rezeki untukku, Alhamdulillah.. ^_^. Hari pertama mengenali adik ini, sudah membuat aku merasakan seperti sudah lama kami berkenalan. Sempat juga lah aku mengambil gambar kenang-kenangan di hadapan Conrad Hotel, tempat seminar diadakan. Manalah tahu dah tak jumpa lepas ni kan. ;)