02 November 2015

Hilang

Ada jenis manusia, yang sepanjang hidupnya dihabiskan untuk mencari diri. Bertahun dia mencari diri -berkelana, mengelilingi dunia, menghadiri majlis ilmu, berseronok dan sebagainya. Kerana dia merasakan, bahagia sudah hilang dari hatinya. 

Segala hak kebahagiaan miliknya menjadi terbatal, fikirnya. Walhal kenyataannya, dia punya pelbagai perkara yang membahagiakan -jika dia tahu, perkara miliknya itu sebenarnya jika dimiliki orang lain bisa membahagiakan.

Ada pula orang yang sihat, mencari diri sehingga menjadi sakit. Berpenat lelah menyiksa diri demi mencari diri yang dikatakan 'hilang'. Dia punya segala nikmat yang ada namun, oleh kerana perasaan diri 'hilang diri', nikmat di hadapan matanya tidak terkesan di hatinya. 
Bertahun masanya dihabiskan dengan berhibur, bergelumang dengan dosa dan maksiat sehingga kadang-kadang mengurung diri dan mencederakan diri sendiri saat merasa penat; lelah dengan diri sendiri.

Ada pula orang yang sakit, berusaha mengubati sakitnya. Menurut fikirannya, nikmat sihat itulah yang telah hilang dari dirinya. Kerana itulah, walau jauh ke luar negara, ke negeri seberang, menaiki kereta, meredah lautan dan membelah awan semata-mata, adalah tidak menjadi persoalan dan hal yang berat untuknya. 
Baginya yang terpenting, hanyalah untuk mencari doktor pakar, menemukan ubat yang paling mujarab, mencari ikhtiar penawar yang paling berkesan -demi mengais sisa-sisa kesihatan yang berbaki untuk  meraih nikmat menjadi sihat dan pulih kembali!

Ada juga yang sehabis hidupnya diisi dengan membenci dan hasad pada orang -merasakan mereka tidak layak mendapatkan apa sahaja yang mereka punya. Setiap hari yang meniti di bibirnya adalah kebencian. Di hatinya penuh rasa tidak senang melihat kesenangan orang. Pada matanya, ligat mencari salah orang. Ada sahaja yang disumpahnya. Ke mana-mana, pasti ada caci makinya. Kerana dia merasa, dialah yang benar dan orang lain salah. Lalu, bagaimana mungkin, yang merasa ada diri tidak hilang ini merasa bahagia? Sedangkan hakikatnya ia selalu hilang diri.

Lalu, apakah yang hilang dari hidupmu wahai teman?

Kesihatan?

Wang?

Ketenangan?

Pemikiran yang waras?

Maka jawapanku, yang hilang itulah pedoman hidupmu; saat kau merasa tiada terarah kehidupan ini, tiada maksud dan tujuan yang dapat kau capai. 

Jika selama ini kau sandarkan tujuan hidupmu pada sesuatu yang fanaa, maka selama itulah kau kan hilang diri.

Kerana dunia ini sifatnya fanaa. Dan begitulah juga perasaan mu, luka dan pedihmu, sedih dan sakit hatimu, bahagia dan banggamu.

Maka, jalani hidup ini seadanya kerana ia diciptakan untuk kita. Manfaatkan, pergunakan untuk membina hidup lebih indah di syurga sana.