09 October 2010

Jika-masa hadapan

Bismillah.. Ya Allah, andainya kecintaan pada dunia menjarakkan aku dari-Mu, maka jauhkanlah dunia dari aku.. Sesungguhnya, aku mahu selalu dekat dengan-Mu Ya Allah..

Jika yang hitam makin pudar, maka yang banyak makin sedikitlah.
Jika yang sedikit itu berkurang, maka nanti makin tiadalah.
Jika semalam kita berlima, hari ini kita berempat.
Jika lusa kita berdua, maka seterusnya, seorang jua.

Sedar tak sedar, sudah hampir satu sem di universiti ini. Belajar, menuntut ilmu dan berdiskusi. Namun, kerap juga diri bertanya. Apa yang aku bakal sumbangkan untuk ummah hari esok? Apa yang mampu aku berikan untuk Allah dan RasulNya? Apa yang dapat aku baktikan saat melihat sebelah kaki di pintu neraka di padang mahsyar kelak? Allahua'lam.

Aku mahu supaya dapat merasai masa hadapan. Kata Pak Wawan, merasai masa hadapan itu, biar kita dapat melihat dan berada bersama-sama masa hadapan. Kita nampak visi dan misi kita di masa hadapan sehingga kita mampu untuk menjelaskan kepada dunia masa hadapan yang mahu kita kecapi. Kadangkala, kita mahu dan berusaha mencapai sesuatu. Tetapi, sesuatu yang kita bayangkan itu, langsung tak dapat kita rasai. Lantas, apa yang kita mahu kecapi dan tujui itu terasa jauh dan dangkal sekali. Sehinggakan, apa yang dicita-citakan itu terbiar begitu sahaja. Almisal satu cita-cita kurang sempurna, "aku mahu supaya satu hari nanti, aku akan punyai sebuah ladang." Kemudian, kenyataan itu tinggal jadi kenyataan sahaja.

Sepatutnya, kita harus menggambarkan dengan lebih jelas lagi. Almisal, "saya mahu mempunyai sepuluh ekar ladang. Dan di ladang itu, saya mahu menternak sekurang-kurangnya seribu ekor lembu susu. Saya melihat, lembu-lembu susu ini sangat subur kerana mereka mampu mengeluarkan dua liter susu setiap hari. Susu mereka pula dapat saya eksport ke luar negara untuk dipasturkan..."

Lihat? Cara orang melihat sesuatu adalah berbeza. Oleh kerana itulah, orang dapat dikenali melalui perilakunya. Selagi mana masih bernyawa dan bernafas, rahmat Allahlah yang mesti dimenangi terlebih dahulu sebelum rambut yang hitam menjadi putih, usia yang panjang makin memendek, dan sahabat yang ramai berhijrah ke kuburan, ayuhlah kita mencintai Allah, Rasul, malaikat dan kitabNya..
Wassalam

P/s: Sebentar sahaja lagi