Dengan nama Ar-Rahman yang Maha Pemurah.. Dan Ar-Rahim yang Maha Mengasihani.. Dampingilah hati-hati kami dan tuntuni kami menjadi hambaMu yang Kau kasihi.. Ameen~
Alhamdulillah, setelah sekian lama, sempat juga untuk mata ini menjamah buku Kebangkitan Generasi Salahuddin dan Kembalinya Al-Aqsa ke Pangkuan Islam, hadiah dari seorang sahabat.(Hakadha zahara Jailu Salahu al-din wa Hakadha 'Adat al-quds' karya Dr. Majid Irsan Kaylani atau karya terjemahan 'Kebangkitan Generasi Salahudin dan Kembalinya Al-Aqsa ke Pangkuan Islam' karya Abdullah Abbas.) Niat untuk mengkhatamkan buku ini sewaktu cuti sem nampaknya seperti akan termaqbul walaupun cuti sem ini hanya tinggal beberapa detik sahaja lagi bakal melabuhkan tirainya.. Apa-apa pun, Alhamdulillah.. Masih punya kesempatan dalam ruanglingkup kerja yang menguji ketahanan emosi dan fizikal ini. Catatan yang bakal saya catitkan di bawah ini mengikut kefahaman aqal saya yang dhaif sahaja serta petikan-petikan pandangan dan kata-kata Ghazzali. Sekadar perkongsian dengan sahabat-sahabat di samping mempromote buku ini dan memberi semangat buat sahabat-sahabat atau adik-adik untuk membaca buku tebal ini. :)
Oklah, di dalam buku ini saya lihat diagnosis Ghazzali yang dilakukan semasa dia beruzlah (setelah lama berkecimpung dalam penyelewengan pemahaman fanatisme mazhab) seperti berlaku lagi di zaman ini,
"walaupun sekarang, ketamakan telah mengunci lidah-lidah para ulamak, sehingga mereka benar-benar diam. Apabila mereka berbicara, kenyataan kehidupan mereka sama sekali tidak sesuai dengan kata-kata mereka sendiri, sehingga tidak pernah berjaya. Seandainya, mereka benar dan jujur, serta ikhlas dalam mencari ilmu, nescaya akan berjaya. Maka, kerosakan rakyat kerana rosaknya raja, dan rosaknya raja kerana rosaknya para ulamak sedang rosaknya ulamak adalah disebabka ketamakan mereka terhadap harta dan kedudukan. Barangsiapa yang telah dikuasai oleh kecintaan terhadap dunia, maka tidak akan mampu lagi untuk membendung perbuatan hina yang memakan dirinya sendiri, lantas bagaimana pula dia akan mampu membendungnya dari para raja dan penguasa. Dan kepada Allahlah semata-mata tempat meminta pertolongan."
Antara lain diagnosis Ghazzali tentang pengaruh negatif disebabkan rosaknya misi ulamak dan tersebar luasnya formaliti beragama dalam masyarakat Islam. Beliau juga menambah, bahawapenggantian tujuan dan sasaran dalam menuntut ilmu bagi para ulamak ini, mengakibatkan timbulnya berbagai-bagai penyakit dalam pemikiran dan kejiwaan, yang semakin menambahkan kebekuan misi mereka terhadap masyarakat, dan fungsi mereka yang sebenarnya terbalik menjadi faktor perosak. Penyakit-penyakit tersebut antara lain ialah:
Pertama: mereka semakin jauh daripada masalah-masalah masyarakat serta sibuk dengan masalah sekunder yang sama sekali tidak bermanfaat. Para ulamak salaf dahulu selalu memecahkan berbagai-bagai masalah kehidupan yang sebenar, dan membantu para penguasa dalam mengatur hal ehwal masyarakat serta menghadapi serangan dari luar. Walaupun ulamak pada zaman Ghazzali telah menyimpang fungsinya; mereka menguruskan berbagai-bagai masalah kulit bukan inti, yang sama sekali tidak ada kaitannya dengan keperluan zaman. Mereka selalu berdebat tentang masalah-masalah tersebut hanya untuk menjatuhkan lawan debatnya, dan memperolehi harta serta kedudukan. (Seperti apa yang berlaku di Malaysia sekarang bukan?) Mengenai hal sedemikian, Ghazzali berkata:
" Sesungguhnya para sahabat r.a dulu, tidak bermusyawarah kecuali tentang berbagai peristiwa baru atau yang besar kemungkinan terjadi seperti masalah fara'id. Adapun kami sekarang tidak menyaksikan para pendebat memperhatikan akan menyelesaika masalah yang sebenar dalam masyarakat, akan tetapi yang mereka cari adalah kuasa yang boleh didengar suaranya, maka dengan itu perdebatan semakin meluas, sebagaimana yang terjadi. Dan kamu mengetahui akan kegilaan mereka terhadap berbagai-bagai perbincangan dan perdebatan bukan kerana Allah. Seorang di antara mereka menyendiri dengan sahabatnya untuk waktu yang lama, tetapi tidak mengajaknya berbicara, atau mungkin sahabatnya mengusulkan sesuatu tetapi dia tidak menjawabnya. Apabila seseorang di antara mereka naik di atas mimbar untuk menyampaikan pendapatnya, maka ulamak yang lain pun sibuk memikirkan tipudaya untuk mengalahkan lawan bicaranya, sehingga dirinya menjadi satu-satunya ulamak yang didengar suaranya."
Betapa sedihnya Ghazzali menyaksikan keadaan seperti ini, sehingga dia sering mengulang-ulang dua bait syair yang berikut,
"Para fuqaha' kita bagaikan lilin,
Dia terbakar dan cahayanya menerangi manusia,
Takungan air yang besar di bawah air jernih,
Bagaikan perak putih di atas api.
Kedua: fanatisme mazhab dan lenyapnya keutamaan ilmu. Di antara kesan negatif yang diakibatkan oleh rosaknya ulamak dan ilmu ialah timbulnya berbagai-bagai perselisihan da permusuhan mazhab. Oleh sebab itu, Ghazzali sangat keras dalam memperingatkan para pelajar ilmu agar tidak ikut terseret ke dalam perselisihan ini.
Selain itu, berlakunya perpecahan umat dan munculnya beberapa kelompok serta mazhab. Kata Ghazzali:
"Fanatisme merupakan sebab yang mengukuhkan aqidah dalam jiwa, dia adalah salah satu bencana ulamak us-su'i (jelek) kerana mereka sangat berlebih-lebihan dalam fanatik terhadap kebenaran, dan melihat orang yang menyalahi fahaman mereka dengan penuh penginaan. Maka timbullah dalam diri orang-orang tersebut keinginan untuk menyaingi dan menghadapinya, serta motivasi untk membela kebatilan dan semakin kuat maksud mereka untuk berpegang teguh pada fahaman yang mereka anuti. Seandainya ulamak itu datang dari sisi kelemahlembutan, kasih sayang dan memberi nasihat dengan penuh keikhlasan,bukan dengan rasa fanatik dan penghinaan, nescaya itu akan lebih berhasil. Akan tetapi, kerana kedudukan tidak boleh bediri tegak kecuali dengan adanya pengikut dan tidak ada yang lebih boleh menarik hati para pengikut daripada fanatisme dan caci maki terhadap musuh, maka para ulamak us-su'i tersebut menjadikan fanatisme sebagai tradisi dan tuhan mereka. Mereka menamakannya sebagai pembelaan terhadapa agama dan kaum Muslimin, akan tetapi sebenarnya, dialah penghancur manusia dan penanam bid'ah ke dalam jiwa.
Lihatlah bagaimana kehancuran umat Islam zaman dahulu kini seumpamanya meracun sekali lagi umat Islam pada masa kini. Dan ada antara petikan-petikan kata-kata Ghazzali berkenaan tulisan di atas tidak saya masukkan.
P/s: Nanti saya sambung penulisan tentang kelompok para ulamak pula ye? Takut ada yang pening je..:) Saya pun hampir pening. Hehe..