Titipan Bayu Kuala Tabal
Aku mendengar dari bisik alun
Bayu pesisir Kuala Tabal
Aku melihat dari celah retak
Dinding tembok Masjid Kerisik
Aku membaca pada abu arang
Tiang madrasah yang lama kontang
Tiga wilayah itu punya sirah masyhur gemilang
Harum mekar mengisi bait-bait peradaban
Menyebar resap zarah wasap perjuangan
Membajai akar rumpun sebuah bangsa dan kedaulatan
Aku mendengar dari bisik alun
Bayu pesisir Kuala Tabal
Khabarnya kini
Mega mega resah kencang berlegar
Menerobos angkasa sentosa
Selubungi alam nyata
Hingga hangat sinar keamanan
Langsung tidak disentuh deria rasa rakyatnya
Kian terhakis ketenteraman
Semakin menjerat kekucaran
Punah ranah keadilan dipukul kezaliman
Aku mendengar dari bisik bayu Kuala Tabal
Ceritanya
Badai gelisah mula menghempas
Merenggut jiwa-jiwa pemuda sasa
Menyeret ke lautan luas bergelora
Membenam jauh ke dasar
Jurang siksa dan lara
Jadilah penantian hampa kecewa
Tiada khabar tiada berita
Menantilah bonda ayahanda saudara
Entah bila usai ghaibnya
Aku mendengar dari bisik bayu Kuala Tabal
Keluhnya
Di sana bulan tidak lagi indah
Bintang belum ketemu ceria
Malam bukan tempat layaran mimpi
Dinginnya tidak juga mendamaikan mata
Cuma gundah waspada tercerna
Dari segenap laras berpeluru
Menghambur ganas dan buas
Memburu jiwa tiada dosa
Mangsa sebuah cakna dusta
Wahai saudaraku
Akar kita sama rumpun kita satu
Hulurlah beban deritamu
Agar dapat sama kami pikul
Hingga makbul tujuanmu harapan kami
Saudaraku
Izinkan kami
Menyeka air mata hibamu
Moga dapat kami rasai
Getir pahit luka di jiwamu
Mencari penawar bisa
Mencabut akar umbi sengsara
Bertahanlah saudaraku
Kami kan senantiasa bersama kamu
Menjamah kelat nestapa
Menghirup payau angin sengsara
Sampai suatu masanya yang pasti tiba
Bayu Kuala Tabal tidak pernah henti bertiup
Berterusan memberi pesan
Bahawa pintu harapan tidak pernah tertutup
Kerana benih-benih damai masih tersimpan
Dalam timbun beting pasir
Juga bawah runtuhan tembok madrasah
Menanti saat bercambah
Mengakar dan mencapah
Mengusir angin hitam puaka
Menghalau haru peluru bedil durjana
Sampai masanya nanti
Langit sentosa pasti cerah
Malam pasti mengundang lena
_6Julai2011_Malam_pengkisahan_selatan_thai_PEPIAT
on Friday, July 8, 2011 at 7:23am

